fbpx

Elizabeth Tan Akui Lebih Senang Berkawan Dengan Lelaki

Meskipun hanya terbabit dua babak dalam filem Gila Gusti, penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan tetap berasa teruja. Tampil sebagai ‘announcer’ dalam gelanggang gusti, namun bagi Elizabeth ianya sudah memadai.

Elizabeth atau lebih mesra dengan panggilan Lizzie berkata dia sememangnya minat dengan sukan gusti, malah turut menyertai kelas MMA (Mixed Martial Arts). Ujarnya, dia menerima watak tersebut kerana minatnya dalam dunia lakonan.

BACA: Elizabeth Tan Nak Kawin, Tapi Belum Sedia Miliki Anak

“Lagipun saya memang minat ‘combat sports’. Saya minat UFC (Ultimate Fighting Championship) dan MMA (Mixed Martial Arts). Saya masih lagi ke kelas MMA hampir setiap minggu.

“Ia kelas secara peribadi dan saya boleh sesuaikan masa ikut kelapangan. Berkenaan gusti, ia pengalaman pertama dan bagi saya ia sesuatu yang menghiburkan,” katanya.

Akui pandemik Covid-19 turut memberi kesan terhadap kerjaya seninya, Lizzy berkata dia tidak hanya berpeluk tubuh dan memulakan perniagaan dengan menjual baju jenama untuk lelaki. Katanya lagi, dia tidak boleh bergantung pada kariernya sebagai pelakon dan penyanyi semata-mata.

“Saya tidak duduk diam apabila memulakan perniagaan sendiri dengan jual baju jenama Izzi untuk lelaki. Kebanyakan kawan-kawan saya lelaki.

“Saya percaya saya tak boleh bergantung kepada karier ini selamanya. Ini faktor saya mulakan perniagaan. Kalau dah tua nanti sekurang-kurangnya saya sudah ada simpanan. Saya mencuba dan ia adalah pencapaian saya tahun ini,” katanya.

Sejak kebelakangan ini foto yang dimuat naik olehnya menjadi perhatian ramai, Lizzy tidak menafikan penampilan dirinya yang seksi menjadi faktor diminati ramai golongan lelaki.

“Mungkin juga. Saya rasa pengurusan pertama saya lengkapkan saya dengan imej begini atau macam ‘The Girl Next Door’ yang semua orang boleh terima dan semua lelaki boleh terima.

“Lagipun saya lebih senang berkawan dengan lelaki berbanding wanita. Kebanyakan kawan-kawan juga lelaki. Kalau dikatakan penampilan saya di media sosial ‘mengundang’ tumpuan lelaki, selagi mama saya tak cakap apa-apa, saya okay.

“Jika dia kata sesuatu barulah saya akan padam gambar itu dari media sosial. Dah tentu saya dapat banyak mesej mengarut tapi saya buat tak tahu,” katanya.

Dalam pada itu, Lizzy merancang untuk berkahwin dalam tempoh tiga tahun lagi, bagaimanapun dia enggan membuka mulut sama ada sudah mempunyai calon atau tidak buat masa ini.

“Saya sudah merancang kahwin lagi tiga tahun. Ini memang betul. Saya tak boleh tunggu lama lagi. Sekarang usia saya sudah 27 tahun dan tiga tahun lagi amat sesuai untuk berkahwin.

“Berkenaan calon, saya belum boleh jawab. Mungkin ada dan mungkin tak. Sukar untuk saya mengaku kerana kebanyakan peminat saya adalah lelaki,” katanya.