Pelakon yang popular menerusi filem box-office Ombak Rindu, Maya Karin menegaskan bahawa dia tidak mahu bercinta sesama rakan artis ketika bertemunya semasa majlis sidang media Dialog Inspirasi Kepada Wanita, L’oréal semalam. Jelasnya dia lebih selesa untuk berkasih atau bercinta dengan seseorang lelaki yang luar dari bidang hiburan ini.

“Saya lebih berminat atau seboleh-bolehnya mengelak untuk bercinta sesama artis kerana industri kita kecil dan apabila kita putus ianya akan menjadi satu bahan ketawa orang dan saya juga terfikir apabila terserempak di mana-mana acara anugerah dan juga apabila digandingkan untuk photoshoot dan juga dalam lakonan, kalau boleh saya memang tidak mahu untuk bercinta sesama artis dalam industri ini,” ujarnya bersungguh.


Maya juga turut diasak dengan soalan seperti adakah dia sudah jelak dengan pertanyaan orang ramai apabila asyik bertanyakan bilakah dia akan menamatkan zaman bujangnya, dan dengan pantas dia memberitahu bahawa dia seperti biasa menjelaskan bahawa dia lebih selesa menjalankan kehidupan solonya dan baginya ini membuatkan dia lebih berhati-hati untuk berumah tangga pada masa depan.

“Tidak saya tidak pernah berasa bosan apabila soalan ini dikemukakan kerana sememangnya jelas orang akan bertanyakan soalan ini, dan pada hari ini sekali lagi saya ingin mengatakan bahawa setiap orang mempunyai persepsi atau tanggapan berbeza apabila menyentuh soal perkahwinan, ada yang mengatakan bahawa sekiranya seseorang itu mempunyai anak maka lengkaplah kehidupan wanita itu, tetapi tidak bagi saya kerana sekiranya seseorang itu tidak bahagia, tidak ada gunanya juga, dan buat masa sekarang saya memilih untuk menjalani kehidupan solo, kerana banyak yang perlu saya bermuhasabah, berfalsafah dan tidak perlu untuk saya berfikir secara terburu-buru walaupun umur saya sudah memasuki 33 tahun,” ujarnya panjang lebar.