fbpx

DSV Tak Tolak Kalau Bercinta Dengan Shuib

Jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida berkata dia tidak menolak seandainya ditakdirkan bercinta dengan pelawak, Shuib Sepahtu.

Kata Vida lagi, Shuib sememangnya memenuhi ciri-ciri lelaki idaman yang dicarinya selama ini dan mengakui pelawak itu seorang lelaki yang penyayang.

BACA: Sambut Hari Jadi Uwais, Peminat Doakan DSV & Shuib Berjodohan

“Shuib seorang lelaki yang baik dan penyayang. Saya lihat sendiri bagaimana dia melayan anak-anaknya dengan penuh kasih sayang.

“Sejujurnya saya tiada masalah untuk mengenalinya secara lebih dekat. Lagipun sebelum arwah Siti Sarah meninggal dunia kami sudah menjadi rakan kongsi untuk produk makanan Unagi.

“Malah, saya pun rapat dengan anak-anaknya. Saya selalu juga bersiaran langsung bersama anak-anak Shuib melalui Instagram ibu mentuanya. Seronok setiap kali berpeluang bersembang dengan mereka,”katanya.

Vida berkata lagi, ada yang mengatakan bahawa mereka serasi namun setiap perhubungan perlu melalui proses perkenalan dan restu daripada beberapa pihak.

“Orang luar boleh berkata apa saja, tapi hati manusia tak boleh dipaksa-paksa. Tuan empunya badan yang akan membuat keputusan. Kalau tanya saya sekarang saya tiada masalah untuk berkawan dengan Shuib,” katanya.

Sebelum ini, ada netizen yang berharap agar Vida berjodohan dengan Shuib dan menjadi ibu kepada anak-anak pelawak itu. Malah, dalam beberapa perkongsian sebelum ini dapat dilihat anak-anak arwah Siti Sarah begitu mesra dengan usahawan kosmetik itu.