fbpx

DSV Mohon Maaf, Tiada Niat Riak Dengan Kekayaan

Baru-baru ini, kenyataan jutawan terkenal Datuk Seri Vida dikecam hebat apabila meminta mereka yang terjejas diluar sana supaya berusaha daripada bergantung dengan bantuan bendera putih sahaja.

Selepas dikecam teruk, akhirnya Vida tampil membuat permohonan maaf menerusi IG Live malam tadi. Tiada niat merendahkan golongan susah, Vida berkata itu hanya pendapat peribadinya dan memohon maaf jika ada yang terasa hati dengan kenyataannya itu.

BACA: “Yang Hanya Pandai Menghentam Tu, Harap Anda Pun Bantu Sekali”

“Saya tidak pernah berniat untuk merendah-rendahkan golongan susah. Semua itu hanya pandangan peribadi dan saya hanya berharap semua pihak terus berikhtiar untuk menjana pendapatan ketika musim pandemik.

“Justeru, sekiranya saya ada terkasar bahasa atau ada pihak terasa hati dengan setiap tutur kata saya, saya mohon maaf. Niat saya hanya satu, kerana Allah SWT,” katanya.

Dalam pada itu, Vida menjelaskan dia tiada niat untuk bermegah dengan kekayaan yang dimilikinya kerana dia juga pernah mengalami zaman susah.

“Saya tiada niat untuk riak walau sebesar zarah sekalipun atau menyombong. Bila saya beri contoh suruh meniaga itu ini, ramai pula yang salah faham.

“Dahulu saya juga tiada media sosial, susah nak minta bantuan. Zaman sekarang semuanya mudah dengan media sosial, jadi jangan berhenti berusaha,” katanya.

Menerusi sesi Live itu juga, Vida turut berharap mereka diluar sana supaya tidak putus asa dan terus berusaha kerana kita tidak tahu sampai bila pandemik akan berlarutan.

“Takkan la saya boleh nak bagi apabila ada orang minta diaper dan susu? Saya boleh beri apa yang diminta. Saya boleh bagi lampin sampai 10 pek. tapi hanya boleh tahan dua atau tiga bulan.

“Kena faham isu pandemik ini akan berlarutan, tak tahu bila nak pulih sebab itu kita kena terus usaha,” katanya.