fbpx

DSV Lantik Cik B Jadi CEO Termuda

Sudah lama rasanya kita tidak mendengar khabar berita dari Jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida. Dalam perkembangan terbarunya dia telah melantik, anak perempuannya, Nur Edlynn Zamilleen atau lebih mesra dipanggil Cik B untuk menjadi CEO dan seterusnya menguruskan bahagian ‘Food & Beverage’ (F&B) dalam perniagaan terbaru mereka, Cik B Vaganza Food Fest, 2019.

BACA: “Korang Gelakkan Cik B, Dia Gelak Tengok Akaun Bank Korang”

“Perasan tak perniagaan kosmetik saya agak perlahan sampai hari ini. Saya kecewa apabila produk saya sering kali dikaitkan dengan Cik B. Kenapa Cik B tak putih? Kenapa Cik B tak kurus cantik? Maka saya jadikan kekurangan itu sebagai semangat untuk kami.

“Cik B Vaganza Food Fest 2019 ini saya ingin beri peluang kepada usahawan kecil dan juga rakan artis untuk sama-sama mencari pendapatan. Program ini merupakan platform terbaik untuk memperkenalkan, mempromosi dan memartabatkan produk-produk di seluruh Malaysia.

“Cik B memang menguruskan hal makanan dan minuman. Justeru saya meletakkannya untuk Vaganza Food Fest ini dan saya akan fokus kepada kosmetik. Perniagaan ini bukan saja teori tetapi ia perlu dipraktikkan. Ini lah masanya untuk Cik B menunjukkan segala kemampuan,” katanya kepada Rotikaya.

Selain itu, dengan adanya platform seperti ini, DSV berkata ia dapat menonjolkan bakat anak-anak muda untuk memulakan perniagaan sejak kecil lagi.

“Cik B yang baru berusia 14 tahun sudah mampu menggalas tanggungjawab sebagai CEO. Anak-anak muda yang lain jua perlu berani memulakan perniagaan walaupun masih muda dan mentah,” katanya lagi.

Cik B Vaganza Food Fest 2019 akan berlangsung selama tiga hari bermula dari 20 Disember hingga 22 Disember 2019 di perkarangan tempat letak kereta (W4), Stadium Shah Alam.

Antara acara menarik dijalankan adalah sesi ‘Meet & Greet’ bersama artis tempatan selain aktiviti memasak dan mewarna serta tidak ketinggalan cabutan bertuah untuk pengunjung yang hadir pada hari terakhir. (rtky/h)