fbpx

Dr Sheikh Muszaphar Cemas, Salah Satu Kembar Dalam Kandungan Tak Bergerak

Bakal menimang kembar sepasang tidak lama lagi, menerusi perkongsian di Instagram sebentar tadi, angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar berkongsikan detik cemas apabila salah seorang kembar dalam kandungan isterinya, Datin Dr Halina tidak bergerak.

Berkongsikan video isterinya melakukan scan untuk mencari degupan jantung bayi mereka, Dr Sheikh berkata sebelum itu berlaku kejadian tidak diingini apabila anak kembarnya iaitu Adam dan Noah tidak sengaja terjatuh di atas perut Dr Halina.

BACA: Dr Sheikh Muszaphar Bakal Timang Kembar Lelaki & Perempuan

“Kami mengalami pengalaman yang cukup traumatik malam tadi. Ketika kembar Adam dan Noah sedang bermain, secara tidak sengaja mereka terjatuh di atas perut Dr Halina. Mereka jatuh dengan kuat.

“Dr Halina hanya mendiamkan diri sepanjang masa dan hanya memberitahu saya salah seorang kembar di dalam perutnya tidak bergerak atau menendang sudah lebih dua jam,” tulisnya.

Kata Dr Sheik lagi, dia yang bimbang dengan keadaan tersebut memandangkan kembar di dalam perut sangat aktif pada waktu malam terutamanya kembar perempuan, terus bergegas membawa isterinya ke hospital untuk pemeriksaan.

“Tidak mahu sesuatu yang buruk terjadi, kami terus ke Bahagian Kecemasan pada pukul 1:00 pagi. Perjalanan 20 minit ke hospital seperti terlalu lama. Kami hanya terdiam di dalam kereta. Saya lihat Dr Halina menangis.

“Did an urgent Ultrasound Scan dan Alhamdulillah kedua degupan jantung dikesan. Syukur sangat kepada Allah. Saya tak dapat bayangkan jika sesuatu berlaku kepada kembar yang belum lahir atau mana-mana anak kami. Minta Tuhan jauhkan,” tulisnya.

Dalam pada itu, Dr Sheikh turut memberikan pesanan buat ibu mengandung di luar sana supaya tidak mengambil mudah dalam apa jua keadaan yang berlaku. Ujarnya lagi, suami juga perlu sentiasa bersama isteri untuk menyokong.

“Ikut firasat dan rasa anda kerana seorang ibu lebih mengetahui. Pastikan anak dalam kandungan sentiasa menendang, sekurang-kurangnya 10 kali dalam sejam.

“Jangan tangguh untuk ke hospital. Setiap saat sangat getir. Setiap ibu mengandung perlu ada pengetahuan tentang anak yang dikandung dalam apa juga keadaan. Expect the unexpected,” pesannya.