fbpx

Dilahirkan Tanpa Kaki, Ibu Mimi ONE Cekal Besarkan Anak

Jarang sekali penyanyi kumpulan One Nation Emcees, Mimi Fly berkongsikan tentang kisah peribadinya. Bagaimanapun, ibu Mimi iaitu Puan Ramlah Md Jalee sememangnya layak digelar wanita hebat kerana gigih membesarkan anak-anak walaupun tidak sempurna seperti insan lain.

Dilahirkan tanpa sepasang kaki, ibu Mimi tidak pernah menganggap kekurangan diri sebagai penghalang. Bergelar ibu, tiada bezanya dengan wanita-wanita lain cuma caranya menguruskan anak sahaja berbeza.

BACA: Mimi One Nation Emcee Bakal Sanding 7 November Ini

“Dengan keadaan saya yang tidak dapat berjalan dan terpaksa berkerusi roda, memanglah satu cabaran besar untuk menguruskan anak-anak semasa kecil.

“Cuma cara saya mendukung anak-anak, memasak, memandu, menaiki tangga dan keluar bekerja berbeza berbanding ibu-ibu lain. Saya terpaksa membawa anak-anak ke rumah pengasuh dengan kereta kerana saya bekerja manakala suami pula seorang ahli perniagaan,” katanya kepada Nona.

Mekipun sudah kematian suami, ibu Mimi tetap cekal meneruskan perjuangan malah pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ibu Gemilang 2018.

Mempunyai kelulusan dalam bidang Penulisan Kreatif dan Deskriptif dari Universiti Malaya, ibu Mimi mahu membuktikan bahawa wanita OKU sepertinya boleh menjaga diri sendiri tanpa mengharapkan sesiapa.

“Saya tak pernah salahkan sesiapa dengan keadaan saya seperti ini. Saya percaya Allah berikan kelebihan dan kekurangan untuk setiap makhlukNya. Saya lihat ada keadaan orang yang lebih teruk daripada saya.

“Saya membuktikan, walaupun seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU), kesedaran untuk menjaga diri sendiri menjadi paksi agar saya terus berusaha harungi kehidupan penuh ranjau ini,” katanya.