fbpx

“Dikeluarkan Dari AF9 Sebab Perform Macam Baru Keluar Toilet”

Berkongsikan video lama ketika di awal penglibatannya dalam industri seni, ramai tidak tahu pelakon dan penyanyi Ayda Jebat pernah menyertai program realiti, Akademi Fantasia musim ke-19 pada tahun 2011.

Bagaimanapun, Ayda tidak berjaya ke peringkat seterusnya apabila awal-awal program lagi sudah pun tersingkir. Ayda berkata dia disingkirkan kerana persembahannya seperti baru keluar dari toilet dan biasa-biasa sahaja.

BACA: Suntingan Drama Dikritik Netizen, Ayda Jebat Mohon Maaf

Menerusi entri itu, Ayda memuat naik sedutan video dia menyanyi dan menari lagu keramat AF, Menuju Puncak bersama pelajar-pelajar AF9 yang lain.

Meskipun tersingkir awal dan tiada rezeki berada lama di dalam AF, namun Ayda berkata dia tidak berhenti berusaha dan yang telah diaturkan oleh Allah itu tepat.

“Dikeluarkan dari AF9 sebab perform macam baru keluar dari toilet, biasa biasa, tah pape. Dulu bila keluar lagu Menuju Puncak, confirm rasa nak terkencing, takut terkeluar. Tapi ternyata apa yang Allah atur tu tepat. Yang pasti buat kamu pasti untuk kamu. Jangan berhenti usaha,” tulisnya.

Perkongsian Ayda itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang terkejut apabila mengetahui pelantun lagu Temberang itu pernah menyertai program realiti popular tanah air itu.

Malah, ramai yang mengagumi semangat dan kesungguhan Ayda yang berusaha menempatkan diri dalam dunia seni biarpun rezekinya di AF tidak lama. Tidak kurang juga, ada yang mengatakan Ayda kini lebih popular daripada juara AF9.