Malam tadi berlangsungnya resepsi perkahwinan pelakon jelita, Mawar Rashid dan Raden Ahmad Faizal Datuk Yaakob atau lebih dikenali sebagai Raf Yaakob secara tertutup di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara.

Mawar atau penama lengkap Wan Mawar Shaputri Dato’ Wan Abdul Rashid itu kelihatan anggun dalam persalinan rekaan Putra Aziz daripada Cosry dengan wajahnya disolek oleh Ramzamode, rambut (Syuk Qadir) dan henna (Lea Henna).


Sementara itu, Raf yang merupakan adik kepada penyanyi dan chef selebriti terkenal, Dato’ Fazley itu turut mengenakan sut rekaan Cosry.

Seramai 600 tetamu yang terdiri daripada keluarga dan kenalan rapat kedua belah keluarga mempelai diundang pada majlis tersebut. Turut hadir ialah ibu Raf, Datin Umi Kalsum Abd. Latib dan ibu Mawar, Datin Marinee Abdullah.


Lebih istimewa Ketua Pereka Kek SukaSucre Bistro, Azrene menyediakan kek diberi nama, Enchanted Rose dengan setiap satu lapisan bertakhta kristal Swarovski yang diletakkan di atas juraian lampu gantung mewah.

Lapisan kek yang menggunakan sebanyak 7,777 biji kristal dengan ketinggian 13 kaki itu sekali gus menjadikan ia sebagai kek perkahwinan tertinggi pernah dihasilkan sepanjang sejarah resepsi persandingan di Malaysia.

Pasangan itu selamat dijabkabulkan dengan sekali lafaz tepat jam 3.20 petang di Hotel Royale Chulan, di sini pada 9 November lalu. (rtky/m)