fbpx

Dayana Mahu Jumpa Naim Daniel, Enggan Hantar Bukti

Bekas kekasih Naim Daniel, Dayana Amerda terkilan apabila pihak pengurusan Naim, World Peace Entertainment (WPE) terus berdiam diri berhubung isu hak cipta lagu Sumpah yang menjadi juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34.

BACA: Bekas Kekasih Naim Daniel Tuntut Hak Cipta Bersama Lagu Sumpah

Menurut Dayana, beliau enggan menunaikan permintaan pihak pengurusan Naim yang meminta menghantar bukti isu hak cipta lagu Sumpah melalui e-mel sahaja tanpa perlu bertemu empat mata terlebih dahulu.

“Saya mahu bertemu dengan wakil WPE untuk mengemukakan bukti, tetapi mereka tidak mahu berjumpa atas alasan saya sudah mengadakan sidang media terlebih dahulu, sebelum berjumpa”

“WPE minta saya menghantar bukti menerusi e-mel. Bagaimanapun, saya memutuskan tidak menghantar sebarang bukti menerusi e-mel, melainkan selepas Naim dan WPE bersetuju untuk berjumpa,” katanya.

Terdahulu, Dayana telah mengadakan sidang media menuntut Naim membuat pengakuan terbuka berhubung hak cipta lagu Sumpah. Dayana memberi tempoh seminggu, sehingga semalam, namun tiada sebarang tindakan dari pihak Naim.

Tambah Dayana, beliau berharap kemelut ini dapat diselesaikan segera kerana tidak sanggup dikecam lagi. Manakala, Naim pula menjawab ringkas bahawa belum menerima e-mel bukti berhubung isu hak penciptaan lagu terbabit. (rtky/w)