fbpx

David Teo Pinggir Ahmad Idham & Media Ketika Tayangan Perdana 8 Jam?

Kami sebenarnya berasa hairan apabila Ahmad Idham sendiri menjemput untuk hadir ke tayangan filem 8 Jam apabila kami turut menerima maklumat David Teo turut menganjurkan tayangan serupa, pada masa yang sama.

Menariknya, semua media utama di Malaysia turut menghantar wakil menghadiri ‘tayangan perdana’ anjuran Ahmad Idham ini dan mereka turut mengatakan tiada jemputan daripada pihak David Teo atau pun Metrowealth.

Menjadi satu persoalan kenapa David Teo membuat tayangan perdana 8 Jam tanpa memanggil media & yang lebih penting pengarah untuk filem 8 Jam ini sendiri, Ahmad Idham?

Ketika di’ajukan soalan berkaitan perkara ini, Ahmad Idham mengakui yang beliau tidak tahu menahu tentang tayangan perdana 8 Jam oleh pihak MIG.

“Saya menjemput pihak media hari ini kerana sudah menjadi sikap saya untuk mendapatkan maklum balas daripada anda semua tentang filem 8 Jam saya ini,” ujar Ahmad Idham.

Ahmad Idham secara peribadi membelanja hampir 30 orang daripada pihak media termasuk beberapa orang pelakon filem 8 Jam untuk menyaksikan filem itu pada Khamis lalu di Damansara.

Pengarah yang kini sedang popular dengan filem arahan beliau, Mael Lambong bagaimana pun menafikan yang berlakunya pergeseran antara beliau dan orang kuat MIG itu dan tidak berfikiran negatif tentang apa yang berlaku terhadap filem 8 Jam ketika ini,

“Saya hanya pengarah. MIG sebagai pihak penerbit mempunyai hak untuk menganjurkan atau tidak tayangan perdana buat pihak media atau untuk sesiapa sahaja. Apa yang saya buat hari ini bukan tindakan balas terhadap apa yang terjadi,” tambah Ahmad Idham.