Fitnah kononnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan kewarganegaraan kepada rakyat China secara sewenang-wenangnya kembali dimainkan, sedangkan dakwaan itu telah berulang kali dinafikan berserta data rasmi yang menunjukkan gambaran sebenar.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, dakwaan beliau memberi kewarganegaraan kepada rakyat China sesuka hati adalah fitnah berniat jahat yang sengaja dimainkan bagi membakar sentimen rakyat serta mengelirukan masyarakat.
Menurutnya, setiap permohonan kewarganegaraan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, undang-undang serta tapisan keselamatan yang ketat dan bukannya boleh diluluskan sesuka hati, apatah lagi bagi memenuhi agenda politik pihak tertentu.
“Sepanjang saya memegang jawatan Menteri Dalam Negeri, saya telah menjelaskan fakta ini berserta data yang lengkap beberapa kali di Parlimen dan sesi bertemu media.
“Namun poster berunsur fitnah dan berbaur 3R (agama, kaum dan institusi diraja) ini muncul dan tular sekali lagi selepas penafian saya mengenai isu sama pada Mac tahun lepas,” katanya.
Malah, rekod yang pernah dibentangkan Saifuddin di Dewan Rakyat pada November 2024 turut menyangkal naratif kononnya 1.2 juta rakyat China yang memasuki Malaysia tidak keluar dari negara ini sebelum diberikan kewarganegaraan secara beramai-ramai.
Ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025), beliau memaklumkan sebanyak 8,491,653 ketibaan pelancong China direkodkan bagi tempoh 1 Januari 2018 hingga 30 November 2024, manakala 8,012,294 pelepasan keluar dicatatkan.
Katanya, baki 479,359 individu yang ketika itu direkodkan belum keluar bukan semuanya pelancong dengan pas lawatan sosial.
Angka berkenaan turut merangkumi 129,005 pemegang pas jangka panjang, 5,359 individu yang diusir atas kesalahan di bawah akta tertentu dan 141,783 permohonan pas khas, selain mereka yang berada di Depoh Tahanan Jabatan Imigresen Malaysia.
Jelas beliau, jumlah sebenar individu dengan pas lawatan sosial yang masih belum keluar ketika itu hanyalah 84,817 orang daripada keseluruhan 8.49 juta ketibaan yang direkodkan.
“Jadi jumlah individu dengan pas lawatan sosial yang belum keluar (dari Malaysia) adalah 84,817 daripada sejumlah 8,491,653 jumlah ketibaan.
“Jadi kita hentikanlah dakwaan 1.2 juta ini tak keluar ini, dakwaan KDN luluskan warganegara secara borong…itu fitnah yang sangat dahsyat…lebih baik hentikanlah,” katanya.
Saifuddin ketika itu turut menafikan dakwaan 1.2 juta rakyat China berkenaan diberikan kerakyatan Malaysia.
Sebaliknya, beliau menjelaskan hanya 103 warga China diberikan kewarganegaraan mengikut peruntukan Perkara 15(1) Perlembagaan Persekutuan sejak 2013, melibatkan kategori pasangan dalam perkahwinan antara warga asing dan warganegara Malaysia.
Dalam perkembangan terbaharu, Saifuddin menyeru masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan naratif palsu dan sebaliknya menyemak fakta melalui sumber sahih kerana penyebaran fitnah serta berita tidak benar boleh menjejaskan keharmonian dan keselamatan negara.
“Saya menyeru pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita fitnah dan palsu ini menghentikan segera tindakan tidak bermoral itu dan bersama-sama menyokong usaha Kerajaan MADANI mendepani cabaran semasa termasuk isu krisis bekalan global yang memberi kesan kepada rakyat serta negara,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat dengan mengutamakan kestabilan, perpaduan dan kesejahteraan negara.
KREDIT GAMBAR UTAMA: KOSMO