fbpx

Darurat Dari YDPA Wajib Ditaati, Selaras Dengan Tuntutan Islam

Pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang Dipertuan Agong (YDPA) baru-baru ini wajib ditaati kerana ianya selaras dengan tuntutan Islam.

Kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasruddin Hassan pihaknya dan Majlis Amal Islami Malaysia yang menaungi lebih 300 NGO menjunjung taat setia kepada YDPA.

Menurutnya, sebagai rakyat jelata, dah menjadi kemestian untuk kita wajib mentaati arahan Pemerintah yang adil dan bertanggungjawab.

Ianya juga termasuk dalam tuntutan agama dan menepati maqasid syariah bagi menjaga nyawa rakyat dan kemakmuran negara.

Tambah Nasrudin, YADIM sebagai institusi dakwah utama sudah pasti menyokong penuh segala sebagai usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Dengan statistik peningkatan kes COVID-19 yang sekarang ini sangat serius dan semakin meningkat telah mencemaskan negara.

“Di antara perkara utama Proklamasi Darurat ialah mencadangkan pembentukan satu jawatankuasa bebas yang akan dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan. Perkara ini amatlah tepat di samping dapat juga memperkasakan urusan perpaduan negara di samping dapat memupuk sebaiknya kaum dan agama serta merentasi ideologi politik yang dapat dizahirkan demi kepentingan rakyat dan kemakmuran negara,” ujarnya lagi.

Sebagai langkah berkesan memutuskan rantaian Covid19, YADIM turut menyeru dan merayu kepada semua pemimpin NGO Islam dan pemimpin masyarakat serta rakyat agar terus berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) juga semua perintah yang telah ditetapkan.

YADIM akan terus memainkan peranan yang berkesan bagi menjadi jambatan dalam menyampaikan informasi dan agenda negara di antara kerajaan dan rakyat.

Jelas Nasrudin lagi, YADIM juga memberi komitmen tinggi untuk melestarikan gerakerja dalam menyampaikan dakwah, memberi kesedaran dan peringatan kepada umat Islam dan masyarakat keseluruhannya.

Kredit Info: MalaysiaGazette