Kalau dulu ramai anggap dunia teknologi ni lebih sinonim dengan kaum lelaki, sekarang nampaknya persepsi tu dah mula berubah.
Dengan kemunculan AI, ekonomi gig dan pelbagai platform digital, semakin ramai wanita tampil berani mencuba sesuatu yang baharu. Daripada menjadi usahawan online sehinggalah pencipta kandungan yang berjaya.

Terbaharu, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) menerusi program Wanita Gig and Business in Technology 2026 (GIG@BIT 2026) tampil dengan satu misi yang cukup jelas untuk melihat lebih ramai wanita Malaysia jadi pemain utama dalam ekonomi digital!

Program yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Lim Hui Ying itu dilihat sebagai antara inisiatif penting dalam membantu wanita meningkatkan kemahiran digital, memperkukuh literasi teknologi dan membina keyakinan diri untuk bersaing dalam era serba moden ini.

Menariknya, perkembangan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), analitik data, perdagangan elektronik dan ekonomi gig kini membuka lebih banyak peluang kepada wanita untuk menjana pendapatan mengikut kesesuaian masa dan gaya hidup masing-masing. Pendek kata, nak buat side income sambil urus keluarga? Zaman sekarang, semuanya tak mustahil!
Namun, di sebalik perkembangan positif itu, statistik yang dikongsikan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita pada Mei 2026 berada pada 57.3 peratus, masih jauh di belakang lelaki yang mencatatkan 82.9 peratus. Angka ini secara tidak langsung membuktikan bahawa masih banyak ruang untuk wanita terus diperkasakan dalam sektor ekonomi negara.

Atas sebab itu, GIG@BIT 2026 hadir bukan sekadar sebagai sebuah program biasa, tetapi sebagai platform untuk wanita meneroka peluang baharu, membina rangkaian, meningkatkan kemahiran dan paling penting, membuka pintu kepada masa depan yang lebih cerah dalam dunia digital.
Malah, usaha ini juga selari dengan aspirasi Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025-2030 yang memberi penekanan terhadap pembangunan kapasiti, latihan kemahiran serta pemerkasaan digital dalam kalangan wanita.

Apa pun, satu perkara yang pasti, dunia digital bukan lagi sekadar trend, tetapi satu realiti. Jika peluang itu sudah terbuka luas, kenapa tidak wanita menjadi antara yang paling ke hadapan untuk merebutnya?
Siapa tahu, mungkin selepas ini lebih ramai “girl boss” Malaysia akan lahir hasil daripada program seperti GIG@BIT 2026. Kita tunggu dan lihat!