fbpx

“Dari Mula Berlakon Saya Tak Kejar Glamor”

Bermula dengan Dewi Remaja, pejam celik rupanya sudah hampir 10 tahun Izara Aishah berada dalam industri seni tanah air. Bagaimanapun, Izara mengakui populariti bukan lagi keutamaannya tetapi berlakon kerana minat.

Menurut Izara lagi, sejak awal pelibatannya dia tekad mempertaruhkan bakat dan mengajar dirinya supaya tidak terlalu mengejar populariti.

BACA: Izara Aishah, Suami Sedia Timang Cahaya Mata

“Dari mula berlakon, saya ajar diri supaya tidak terlalu mengejar glamor. Saya berlakon kerana minat, malah kecintaan terhadap seni juga mendorong saya menyambung pelajaran dalam bidang Seni Persembahan.

“Ketika mula menjadi artis, saya tidak tahu apa yang perlu dibuat, malah janggal memenuhi sesi fotografi untuk mempromosikan diri dan produksi yang saya jayakan. Lama-kelamaan, baru saya faham dan belajar membiasakan diri dengan tuntutan bidang ini.

“Namun, semua itu tidak pernah mengubah pendirian saya yang bekerja atas dasar minat,” katanya kepada BH Online.

Dilihat sering berkongsikan foto mengenai kerjanya berbanding kisah peribadi. Izara berkata dia lebih selesa untuk menjaga privasi dan tidak terlalu mendedahkan hal peribadi kepada umum.

“Saya juga selesa menjaga privasi dan tidak mahu terlalu berkongsi perkara peribadi sehingga ada yang menegur supaya bersikap lebih terbuka,” katanya.