fbpx

Dah 3 Bulan Tak Sebumbung Dengan Suami, Aishah Tunggu Masa Jatuh Talak

Penyanyi Aishah mendedahkan rumah tangga kali keempat yang dibina sejak lima tahun lalu kini berantakan.

Menurut Aishah, dia juga sudah tidak tinggal sebumbung dengan suami sejak tiga bulan lalu. Bagaimanapun, Aishah enggan mendedahkan punca perpisahannya dengan suami.

BACA: Bebas Covid-19, Aishah Melompat Gembira Keluar Hospital

“Benar, kami sudah berpisah, cuma, talak belum dilafazkan. Kami sudah tinggal berasingan, sejak tiga bulan lalu. Tiada siapa berkahwin untuk bercerai. Saya juga mengimpikan perkahwinan keempat kekal hingga akhir hayat. Jadi, usah ditanya apa punca perpisahan ini.

“Saya tidak mahu menunding jari kepada sesiapa. Anggap sahaja antara kami sudah tiada jodoh,” katanya.

Dalam pada itu, Aishah berkata dia berkongsikan mengenai hal rumah tangganya bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak sebaliknya bagi mengelakkan fitnah.

“Pengakuan dibuat selepas saya berfikir panjang dan tidak mahu timbul fitnah jika ada melihat saya bersama lelaki lain dalam urusan kerja. Siapa tak sedih melihat mahligai yang dibina berantakan. Tetapi saya akur dengan ketentuan Tuhan,” katanya.

Pada 2017, Aishah memaklumkan kembali berumah tangga selepas enam tahun bercerai dengan suami ketiganya pada 2011.