fbpx

Dafi Bangga Bapa Dilantik Sebagai Timbalan Perdana Menteri

Umum mengetahui, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Gembira dan bangga dengan pelantikan bapanya, penyanyi Dafi berkata dia dan keluarga sentiasa menyokong apatah lagi dia sendiri melihat keadaan bapanya yang bekerja keras selama ini.

BACA: Netizen Kecam Dafi Terlibat Program 50 Juri

“Saya tumpang gembira dengan pelantikan ini. Sebagai anak saya sangat berbangga dengan setiap kejayaan yang beliau terima selama berkecimpung dalam bidang politik.

“Saya akan sentiasa memberikan sokongan penuh kepadanya. Kita semua tahu yang dunia politik ini adalah minat utamanya. Saya harap dia mampu menggalas jawatan ini dengan sebaik mungkin serta terus cemerlang dalam kerjayanya,” katanya.

Kata Dafi lagi, meskipun ramai yang tidak menghargai usaha keras bapanya selama ini, namun dia kasihan melihat sendiri penat lelah bapanya.

“Saya tahu dia suka dengan kerjanya, tapi saya juga kasihan melihat keadaan dirinya yang penat bekerja. Tambahan pula tidak semua orang betul-betul menghargai apa yang dia lakukan.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini kerana faham keadaan sekarang orang ramai yang tertekan serta ada sesetengah yang tidak sependapat dengannya. Namun, perkara ini sudah menjadi asam garam dan sebahagian daripada kerjayanya,” katanya.