fbpx

Cukuplah Jadi Model, Sugu Pavithra Nak Jadi Orang Biasa

Sebut sahaja nama YouTuber Sugu Pavithra, ramai yang kini mengenali mereka. Berjaya menambat hati rakyat Malaysia dengan resepi masakan dan kisah kehidupan sederhana, pasangan itu kini meraih jumlah subscriber lebih 700k.

Muncul sebagai model di sebuah portal lifestyle Pepatung baru-baru ini, ramai yang teruja dengan penampilan wanita itu dan menyangka ibu kepada dua anak itu sudah beralih arah menceburi bidang peragaan.

BACA: Fasha Sandha Terkejut Terima Panggilan Dari Sugu Pavithra

Bagaimanapun, S Pavithra berkata cukuplah sekali sahaja dia menjadi model serta mengatakan itu merupakan percubaan pertama dan terakhirnya. Ujarnya, matlamatnya tetap sama iaitu mahu membantu meringankan beban suaminya, M Sugu dan selesa sebagai orang biasa.

“Saya hanya penuhi permintaan portal. Ia menjadi sesi fotografi pertama dan terakhir saya. Tidak terfikir menjadi model atau apa sekalipun.

“Saya tak akan jadi model. Saya mahu terus lakukan rutin seperti biasa dengan memasak dan berkongsi kandungan di YouTube, selain jadi ibu dan isteri. Saya orang biasa. Saya selesa dengan status itu. Saya sebolehnya menolak hendak ditemubual di televisyen (TV),” katanya kepada BH Online. 

Sekelip mata popular dan kin menjana pendapatan dengan berkongsi video memasak di YouTube, Pavithra bersyukur percubaannya diterima. Pavithra mengakui pada awalnya dia tidak yakin untuk melakukannya, namun dia mendapat sokongan dari suami dan juga anak-anak.

“Saya mula berjinak-jinak dengan dunia YouTube sejak 28 Januari lalu. Saya lakukannya dengan sokongan suami, anak dan keluarga.

“Pada awalnya, saya tidak yakin, apakah orang akan suka cara saya memasak. Saya terfikir ada tak orang hendak tengok video memasak saya? Tapi sesuatu yang tidak terduga, sambutan diterima sangat positif dan menggalakkan.

“Mahu buka akaun YouTube ini pun kena ada syarat termasuk mendapatkan 1,000 pelanggan. Dalam hati terfikir, boleh tak dapat 1,000 pelanggan? Namun, akhirnya semua tersusun cantik di depan mata,” katanya.

Dalam pada itu, Pavithra berkata suaminya sudah berhenti kerja sebagai pemotong buah di estet disebabkan itu mereka perlu keluar dari rumah sebelum ini. Katanya lagi, jika diberi rezeki lebih mereka merancang untuk membeli rumah sendiri.