fbpx

“Cukup-Cukuplah Kecam, Beri Oktovia Ruang Perbetulkan Diri”

Sudah hampir seminggu berlalu, namun ruangan Instagram pelakon Oktovia Manrose masih lagi dihujani dengan kecaman netizen susulan kontroversinya bersama Aliff Aziz.

Sebagai teman rapat, pelakon Nadiyah Shahab berharap masyarakat memberi ruang kepada Oktovia untuk memperbaiki kesilapan dan tidak berterusan menghukumnya. Menurut Nadiyah, Oktovia seorang yang sangat baik dan dia bersimpati dengan apa yang menimpa rakan baiknya itu.

BACA: “Tak Patut Keluar Dengan Suami Orang, Terang-Terang Saya Salah”

“Sekalipun dia berbuat silap, berikan nasihat dan kata semangat, bukan menambah masalah sedia ada dengan terus menghukumnya.

“Kita tidak tahu kisah sebenar di sebalik apa yang berlaku, jadi berikan dia ruang untuk memperbaiki diri. Sebagai kawan, Oktovia sangat baik dan saya simpati apabila dia dicemuh bertalu-talu kerana kesilapannya.

“Jangan terus menilai peribadi Oktovia hanya berdasarkan kontroversi yang berlaku. Cukuplah dengan tekanan yang diterimanya kerana dia juga berhak untuk bangkit dan memperbetulkan kesilapan,” katanya kepada BH Online.

Kata Nadiyah lagi, netizen sepatunya memberikan nasihat dan bukannya melemparkan kecaman kerana ia tidak dapat menyelesaikan sesuatu sebaliknya hanya mengeruhkan lagi keadaan.

“Dia sudah meminta maaf, tetapi mengapa masih ada segelintir yang terus mengungkit dan membangkitkan kisah yang sudah berlalu.

“Jangan ditambah masalah yang ada, sebaliknya berikan nasihat kerana itu yang dia perlukan saat ini. Kecaman sebenarnya tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya membuatkan keadaan menjadi bertambah tegang,” katanya.