Cliff Umar Mengaku Salah Miliki Heroin

Penyanyi Cliff Umar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas pertuduhan memiliki heroin, pada Ahad lalu.

Memetik BH Online, Cliff atau nama sebenarnya, Abdullah Umar Joseph membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.

BACA: Bekas Isteri Anggap Cliff Umar Dah Mati

Bapa kepada empat cahaya mata itu didakwa memiliki heroin seberat 0.39 gram di tepi Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya dekat sini pada jam 3.30 petang, 26 Mei lalu.

Cliff melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran memohon tarikh baharu bagi sebutan laporan kimia dan mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000.

Sementara itu, peguam mewakili Cliff memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya menanggung isteri dan empat anak yang masih bersekolah.

“Anak guam saya bekerja sebagai pemain muzik dengan pendapatan tidak menentu,” katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,300 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan laporan kimia ditetapkan 31 Julai depan.

SUMBER: BH Online