fbpx

Cinta Bertaut Kembali, Mimi Lana Akui Sedia Bergelar Isteri

Mengesahkan sudah pun putus cinta pada Mei tahun lalu, bagaimanapun pelakon Mimi Lana mendedahkan kembali menjalin hubungan cinta dengan pelakon Syafiq Kyle.

Seolah diberikan peluang kedua, Mimi berkata perpisahan sebelum ini menjadikan hubungannya dengan Syafiq selama enam tahun lebih matang.

BACA: Cinta Mimi Lana, Syafiq Kyle Bertaut Kembali?

“Alhamdulillah, hubungan saya dan Syafiq kini baik-baik sahaja. Apa yang dapat disimpulkan, inilah adalah peluang kedua diberikan, jadi percintaan kami semakin matang.

“Kami sudah lama menjalinkan hubungan cinta, hendak masuk enam tahun. Setiap tahun, daripada tahun pertama hingga sekarang, banyak perkara dipelajari,” katanya.

Mimi berkata tidak mahu lagi kesilapan sama berulang, mereka berdua perlu mengenali dan menyayangi diri sendiri terlebih dahulu sebelum melakukan perkara sama kepada pasangan.

“Jika kita sendiri tidak mampu nak menyayangi diri sendiri, mana mungkin mampu melakukan perkara sama pada insan lain. Justeru, saya dan Syafiq perlu ada sifat ini untuk mencipta hubungan yang berlandaskan cinta sejati,” katanya.

Mengakui mempunyai perancangan untuk melangkah ke fasa lebih serius, bagaimanapun Mimi berkata belum masanya lagi. Namun dia mengakui sudah bersedia untuk berumah tangga.

“Apabila bercinta, memanglah kami ada perancangan untuk membawa hubungan ke fasa seterusnya. Namun, dengan situasi sekarang, ia bukanlah masa yang sesuai.

“Tarikh perkahwinan memang tiada lagi. Jika nak diikutkan, saya memang sudah bersedia untuk berumah tangga. Cuma, saya tidak tahu bila. Cepat atau lewat, soal jodoh biarlah Allah yang tentukan.

“Pada waktu ini, saya hanya mahu menjadi seorang insan dan wanita yang lebih baik. Apapun, saya percaya, jika niat murni, Tuhan akan permudahkan,” jelasnya.