Membuat keputusan untuk berhijrah sejakJulai lalu, ahli kumpulan De Fam iaitu Cik Manggis mengakui ada pihak yang menarik semula tawaran berlakon dalam sebuah drama yang diterima sebelum berhijab.
Bagaimanapun, Cik Manggis atau nama sebenarnya Nurshazwani Shamsuddin berkata dia tidak pernah rasa bimbang, bahkan redha kehilangan tawaran tersebut kerana percaya dengan rezeki lain daripada Allah.
BACA: Cik Manggis Kini Berhijab, Akan Terus Menari Bersama De Fam
“Ada juga tawaran datang tapi tiba-tiba ditarik semula sebab saya dah bertudung. Tapi satu hilang banyak pula yang datang. Jadi bagi saya, tak pernah risau pun kalau berhijrah atau tukar imej.
“Rezeki semua datang daripada Allah. Mungkin rezeki yang Allah berikan sebab saya betul-betul yakin dengan-Nya. Sejujurnya, penghijrahan ini membuatkan saya lebih tenang dan menjaga diri.
“Ada masalah atau tawaran ditarik semula pun saya rasa tenang saja dan reda bukan rezeki. Saya pun tengah perbaiki diri menjadi lebih yakin dan reda dengan apa yang berlaku,”katanya kepada mStar Online.
Dilantik menjadi duta produk mandian baru-baru ini, Manggis meluahkan rasa syukur apabila Allah memakbulkan doanya yang ingin menjadi seorang duta sejak lima tahun menceburkan diri dalam dunia seni.
“Kalau tanya untuk menjadi duta ni, saya memang rasa nak menangis. Lepas saya berhijrah, saya ada berdoa agar diberi peluang untuk menjadi duta sebab sepanjang lima tahun dalam industri tak pernah saya dapat tawaran.
“Dalam doa saya itu, saya letak keyakinan yang semua rezeki milik-Nya. Tak sampai seminggu saya dapat tawaran untuk jadi duta. Bukan satu, tapi empat tawaran dalam masa yang sama,” katanya.