Filem sains fiksyen superhero pertama di Malaysia kini memperkenalkan sekuel Cicak Man, Cicak Man 3 yang mengandingkan Zizan Razak dan juga Lisa Surihani sebagai peneraju utama.

Tambahan pula, filem ini nanti bakal menampakkan kerjasama di antara tiga syarikat penerbitan filem, Kru Studio, Grand Brilliance dan juga Astro Shaw yang mana masing-masing bakal melabur untuk tujuan promosi dan kos produksi yang bakal menjalani penggambaran bermula 15 Ogos nanti.


Bercakap kepada media semalam, Zizan Razak yang ditemui di majlis pelancaran filem sekuel Cicak Man 3 & Majlis Berbuka Puasa KRU Studio memberitahu pengalaman pertama bekerja di bawah arahan Yusry Abd. Halim ditambah pula ianya merupakan pertama kali beliau memegang watak suami kepada Lisa Surihani (Linda) dan juga bapa kepada Rykal (Boboy) adalah kelainan yang cuba ditunjukkan di dalam filem ini.


Jika dua filem terdahulu Saiful Apek yang memegang watak utama di dalam filem Cicak Man, kini tanggungjawab tersebut telah diserahkan kepada Zizan Razak untuk terus menghiburkan hati penonton.

“Saya tahu lakonan Saiful Apek macam mana, dan orang tahu lakonan Zizan. Pada saya jika orang dah biasa tengok kami berdua berlakon tidak timbul isu perbandingan kerana masing-masing ada kekuatan tersendiri.”



“Ini juga pengalaman pertama saya melakonkan watak suami. Pada masa yang sama saya mahu mencuba pelbagaikan watak, mana tahu selepas ini akan dapat offer berlakon jadi kekasih pula,” ujarnya dalam nada berseloroh.

Antara pelakon lain yang akan menjayakan filem ini adalah Fizz Fairuz, Yus Jambu (Superbro/Adam), Azizah Mahzan (Puan Zaleha), Rashidi Ishak (Komisyener Kahar) dan Kaza (Hassan).