Chef terkenal, Datuk Chef Wan meluahkan rasa bangga cucunya, Isabella Safiyya mewakili negara dalam pasukan bola sepak kebangsaan pada Piala Srikandi Merdeka yang kini sedang berlangsung di Indonesia.
Menerusi perkongsian di Threads, Chef Wan berkata dia mengetahui mengenai pencapaian cucunya selepas menerima mesej daripada anaknya, Serina.
BACA:Netizen Kagum Chef Wan Kekal Positif Selepas Didiagnos Kanser
“Beberapa hari lalu di Indonesia, pasukan mereka berjaya jaringkan sembilan gol ketika lawan Arab Saudi. Serina yang hantar semua gambar ini kepada saya.
“Saya bukan peminat bola sepak, jadi memang tak berapa tahu sangat tentang sukan ini. Bila Rina mesej saya dan Qamal pula hantar semua laporan media ini, barulah saya tahu,” tulisnya.
Sementara itu, Chef Wan turut menzahirkan ucapan tahniah buat cucunya dan pasukan kebangsaan atas pencapaian yang membanggakan itu.
“Tahniah kepada Isabella dan pasukannya atas pencapaian mereka. Saya sangat bangga dengan dia, Alhamdulillah,” katanya.