Meskipun Aidilfitri kali ini berbeza apabila diraikan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun pelakon Rozita Che Wan tetap sambut dengan meriah apabila menyediakan sebanyak 20 pasang baju raya.

Malah, Rozita atau lebih mesra dipanggil Che Ta berkata dia sempat mengadakan sesi fotografi raya bersama keluarga dengan kesemua baju raya tersebut pada 5 Mei lalu.

BACA: Che Ta Nafi Rumah Tangga Di Ambang Perceraian

“Baju memang sudah disediakan sebelum kerajaan umumkan PKP 3.0. Ada beberapa pasang baju dari tahun lepas yang tidak pakai sebab PKP 1.0. Jadi, memang banyak sampai 20 pasang.

“Tapi itulah, apabila kerajaan kata tak boleh ada aktiviti ziarah pada raya ini, kita duduk rumah saja lah. Pakai lawa lawa pun pusing dalam rumah saja.

“Mujur saya sudah siap buat sesi fotografi untuk 15 pasang. Jadi, sepanjang raya ini bolehlah saya muat naik di IG,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsikan sambutan hari raya tahun ini, Che Ta berkata dia hanya duduk di rumah, malah suaminya, Zain Saidin memberi peringatan supaya tidak keluar ke mana-mana.

“Apabila kerajaan umum PKP dan sambutan raya hanya membabitkan keluarga dalam rumah saja, dia sudah pesan supaya jangan keluar ke mana-mana. Duduk saja di rumah. Dia jenis yang tidak suka menimbulkan masalah.

“Jadi, dari raya pertama sampai hari ini aktiviti kami sekeluarga bangun tidur, masak, makan, tidur dan seterusnya. Kalau pujuk suami nak keluar pun dia akan berleter. Jadi, sebelum dia bising baik duduk diam-diam di rumah sampailah kerajaan kata boleh beraya dan berziarah,” katanya.