fbpx

Cabaran Ketika PKP, Anak Mengamuk Kalau Tak Bagi Keluar

Susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ia pastinya memberi cabaran buat Zarina Zainuddin bagi mengawal dua anaknya yang menghidap autism iaitu Azil dan Azal agar tidak keluar dari rumah.

Menurut Zarina, dia terpaksa melakukan pelbagai helah untuk memastikan mereka tidak di luar dan kekal duduk di rumah memandangkan anaknya itu kurang faham mengenai situasi yang sedang berlaku di luar.

BACA: Zarina Zainuddin Nafi Jual Produk Timbang Kilo

“Azil kerap berkeras mahu keluar kerana sudah terbiasa dengan rutinnya membeli barang sendiri sebelum ini. Dia tidak mahu kami yang pergi belikan untuknya.

“Jika dihalang, dia akan mengamuk dan mula mencederakan dirinya. Ketika itu saya perlu memujuknya dengan betul dan menerangkan mengenai bahaya di luar sana,” katanya kepada Harian Metro.

Meskipun ada kelonggaran terhadap golongan autisme ketika tempoh PKP, namun Zarina lebih suka jika mereka duduk di rumah dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama. Tetapi sekali sekala Zarina membawa mereka keluar sekitar kawasan rumah dengan memakai penutup muka, mencuci tangan dan menjaga kebersihan.

“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu mereka bosan duduk di rumah dan melakukan sesuatu. Biasanya, saya akan suruh mereka buat kerja bersihkan rumah. Kami juga lakukan aktiviti seperti bermain badminton di halaman rumah,” katanya.