fbpx

“Bukan Sebab Merajuk, Isteri Yang Larang Saya Pergi”

Pada konsert separuh akhir Gegar Gavanza Ahad lalu, ketiadaan Datuk Seri Aliff Syukri yang juga selaku penaja utama program tersebut menjadi tanda tanya pelbagai pihak. Bagaimanapun, Aliff memberitahu beliau sememangnya mahu hadirkan diri tetapi isterinya, Datin Seri Nur Shahida melarang berbuat demikian ekoran kontroversi melandanya sebelum ini.

BACA: “Ada Lagi Teruk, Sumbang-Mambang Menyanyi Tetap Masuk Final”

“Saya memang nak pergi, namun pihak pengurusan iaitu isteri dan konsultan yang lain menasihatkan supaya saya tidak datang. Ketiadaan saya di GV semalam bukan disebabkan saya merajuk, sebaliknya saya hanya mengikut arahan daripada pihak pengurusan.

“Untuk konsert final, saya akan ikut apa kata pengurusan saya. Kalau isteri benarkan saya pergi, barulah saya akan pergi,” katanya kepada KopiPlanet.com

Baru saja mengadakan majlis penyerahan zakat, bagaimanapun Aliff menafikan majlis itu dibuat hanya kerana untuk menutup isu hangat yang terjadi kepada dirinya. Katanya lagi, majlis seperti itu sudah dilakukan oleh syarikatnya sejak enam tahun lalu.

“Saya buat persiapan untuk majlis ini sudah lama, bukan disebabkan nak tutup kontroversi minggu lepas kalau itu yang didakwa oleh netizen.

“Tujuan saya adakan majlis ini bukan sebab nak tunjuk riak atau apa. Memang saya sudah lakukan perkara sebegini sejak enam tahun lalu di samping memberikan sumbangan wang dan barangan persekolahan kepada para pelajar terpilih,” ujarnya.

Terdahulu, Aliff dihentam teruk kerana memanggil seorang hadirin dengan gelaran wanita hodoh. Tindakannya itu menerima kecaman ramai bukan saja dari netizen malah beberapa selebriti tempatan. Bagaimanapun, Aliff sudah pun membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi akuan Instagram miliknya.