fbpx

“Bila Dah Kurus Pun Orang Tetap Mengata”

Meskipun pernah mengharungi episod duka rancangan perkahwinannya sebelum ini musnah, namun pelakon Zulin Aziz tidak pernah menutup pintu hatinya untuk lelaki.

Malah, Zulin kini bahagia dengan seorang lelaki yang merupakan rakan bisnesnya serta mengakui jejaka bernama Farhan Norzaini itu merupakan insan istimewa di hatinya ketika ini.

BACA: Muat Naik Foto Romantik, Zulin Aziz Trauma Kongsi Kisah Cinta

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, dia merupakan rakan niaga bagi produk makanan kami dan foto tersebut diambil untuk tujuan mempromosi bisnes tersebut.

“Bukanlah untuk praperkahwinan seperti yang diperkatakan netizen. Tetapi tidak dinafikan dia lelaki istimewa dalam hidup saya ketika ini,” katanya.

Pengalamannya yang lalu mengajar supaya tidak terlalu berkongsi kehidupan peribadi kepada umum, Zulin mengkaui ramai mendoakan dia berjodohan dengan Farhan.

“Tidak dinafikan saya dihujani doa ramai peminat yang mahukan hubungan kami berakhir ke jenjang pelamin. Terima kasih untuk titipan doa kalian.

“Doakan yang baik-baik untuk saya. Kalau boleh, saya enggan lagi melalui fasa putus cinta terutamanya pada usia sekarang. Mudah kata, tidak mahu terlampau nak beria-ia sangat,” katanya.

Kini sudah tampil langsing, Zulin bersyukur dengan apa yang dimilikinya hari ini. Namun, masih ada komen-komen negatif dilemparkan mengenai perubahan tersebut.

“Bukan mudah untuk dapatkan bentuk badan sebegini. Tidaklah terlalu langsing tetapi apa yang paling penting saya sihat dan dijauhkan daripada sebarang penyakit.

“Cuma apabila sudah berimej begini, macam-macam pula orang kutuk. Kurus salah, gemuk pun salah. Ada pula yang kata bila sudah kurus, saya tidak kelakar seperti dulu lagi,” luahnya.