fbpx

“Biarlah Jika Mereka Masih Mahu Menghukum Saya”

Sering dikecam dan dicaci oleh netizen gara-gara isu ‘perampas dan perosak’ rumah tangga, Izreen Azminda tetap dengan keputusannya untuk tidak membuka ruangan komen di Instagram miliknya kepada umum.

Menurut Izreen, dia tidak mahu menjadi punca netizen dan peminat berbalah dan tidak mahu mengundang dosa orang lain. Katanya lagi, dia tidak memerlukan pendapat mereka di luar sana dalam kehidupannya.

BACA: Izreen Azminda Kongsi Foto Luang Masa Bersama Anak Tiri

“Bukan saya takut dicemuh, cuma saya tidak suka melihat pengikut berbalah sesama mereka di laman sosial. Jika saya membuka ruangan komen itu, saya diibaratkan seperti menjadi pencetus pergaduhan.

“Saya tidak perlukan pendapat orang luar dalam kehidupan. Cukup suami dan keluarga ada di sisi ketika saya memerlukan mereka.

“Apabila ramai yang memberikan pendapat, ia bukan menjadi lebih baik, sebaliknya menyemarakkan lagi api yang sedang membahang. Tidak perlu buat spekulasi mengenai kehidupan orang lain,” katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Izreen berkata kontroversi terpalit dirinya berapa tahun lalu berlaku banyak mengubah sikapnya. Akui ujian tersebut terlalu berat namun ia banyak mengajarnya tentang kehidupan.

“Banyak perkara yang saya belajar selepas berdepan ujian dalam hidup. Dahulu, saya panas baran dan tidak boleh membiarkan orang lain memperlekeh diri. Tetapi kini, saya menjadi lebih sabar.

“Saya biarkan sahaja orang luar menghukum dan tidak lagi mempertahankan diri. Ujian itu juga sebenarnya membuka mata saya mengenai harga kejujuran dan persahabatan,” katanya.

Ujarnya lagi, meskipun hatinya terluka apabila ada netizen mendoakan perkara buruk terjadi dalam hidupnya, namun ada juga netizen tampil memohon maaf kepadanya.