Umum mengetahui, sebelum ini penyanyi yang juga vokalis kumpulan OAG, Radhi mengakui sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang wanita berusia 22 tahun.
Memetik Harian Metro, Radhi berkata dia merancang untuk berkahwin dengan kekasihnya selepas gadis itu tamat belajar di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
BACA: Radhi OAG Bercinta Dengan Pelajar Umur 21 tahun
Sudah lebih dua tahun menjalin hubungan, Radhi berkata hubungannya dengan kekasih baik-baik sahaja. Ujarnya, dia juga mahu perbaiki dirinya ke arah lebih baik.
“Saya tidak boleh bercinta seperti zaman muda dulu kerana kali ini, saya mahu bercinta kerana Allah SWT. Ada juga yang bertanya kenapa saya memilih gadis muda sebagai calon isteri, bagi saya ia soal jodoh.
“Apapun, saya mahu kekasih tamat belajar dulu dan pada masa sama, saya juga mahu memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan stabil dari segi kewangan untuk kembali berumah tangga,” katanya.
Dalam pada itu, Radhi berkata dia mahukan perkahwinan kali ketiga itu nanti akan berkekalan serta tidak mahu mengulangi kesilapan sama.
“Saya sudah dua kali gagal dalam perkahwinan dan tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama lagi. Terus terang, saya berasa bersalah dengan dua bekas isteri dan anak-anak kerana keruntuhan rumah tangga yang lalu,” katanya.
Sementara itu, meskipun dua kali berdepan kegagalan dalam rumah tangga, Radhi berkata hubungannya dengan tiga anak juga baik meskipun selepas perceraian.
“Anak dari perkahwinan pertama sudah berusia 18 tahun. Manakala, dua lagi anak dari perkahwinan kedua, Nur Aishah, 8; dan Muhammad, 7. Aishah dijaga neneknya dan Muhammad kini dalam penjagaan saya.
“Muhammad sangat rapat dengan saya, kalau makan atau minum, dia akan tinggalkan separuh untuk saya,” katanya.