fbpx

Bertudung Labuh Tutup Dada, Mila Jirin Syukur Diberi Hidayah

Berkongsikan di akaun Instagram miliknya, penyanyi dan juga ahli perniagaan, Mila Jirin meluahkan rasa syukur menerima hidayah di bulan mulia ini untuk menutup dan menjaga aurat dengan sebaik mungkin.

Menerusi perkongsiannya itu, Mila berkata hatinya terdetik untuk membaiki penampilannya selepas membaca dan mentafsir surah An-Nur beberapa hari lalu mengenai para wanita perlu memelihara kehormatan mereka.

BACA: Tak Sanggup Buang Pekerja, Mila Jirin Jual Kek Untuk Bayar Gaji

“Habiskan Juzuk 18 Surah ke 24 iaitu surah An-Nur, ayat 31. Baca tafsir, rasa sehingga ke hati dan naluri, tentang Allah beritahu bukan sahaja perlu menundukkan pandangan tetapi mesti juga menutup anggota dengan menjaga aurat.

“Masya Allah, rupa rupanya selama ini ustaz, ustazah pesan memang benar-benar ada dalam Al-Quran, Allah dah pesan… Rasa keinsafan yang menebal didalam hati tertusuk kedalam, rasa malu dengan Allah,” tulisnya.

Dalam pada itu, pemilik Bizmilla itu juga meminta orang ramai mendoakan agar dia terus istiqamah dengan penampilan barunya itu serta berharap pengikutnya juga turut bersama-sama memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

“Alhamdulillah, ramadan tahun ini Allah beri hidayah untuk saya. Moga saya dapat istiqomah menutup aurat dengan sempurna dan menjaga aurat sebaiknya.

“Saya juga mendoakan sahabat sahabat saya di Instagram, ayuh kita sama sama perbaiki diri kita, perlahan perlahan ke arah kebaikkan, tutup aurat dan perlahan perlahan sempurnakannya,” tulisnya.

Mila turut mengingatkan dirinya tentang apa yang diperkatakan oleh suaminya bahawa kita tidak tahu mungkin ini hari terakhir kita diberi nafas di muka bumi Allah. Malah, Mila turut memohon maaf jika dia ada salah dan silap.