fbpx

Berhenti Jalani Fisioterapi, Bahagian Belakang Zamani kembali Sakit

Penyanyi Zamani berkata bahagian belakangnya masih lagi rasa sakit disebabkan kesalahannya sendiri yang tidak menjalani rawatan fisioterapi yang ditetapkan.

Memetik mStar Online, selepas hampir enam bulan menjalani pembedahan tulang belakang akibat penyakit scoliosis, Zamani berkata dia tidak berkesempatan menjalani rawatan kerana jadual kerjanya yang sibuk.

BACA: Badan Kembali Tegak, Zamani Buat Persembahan Pertama Selepas Pembedahan

“Apa yang saya lihat, jika tidak melakukan fisioterapi memang ada sedikit kesan iaitu bahagian belakang saya mula terasa sakit. Rawatan ini sebenarnya saya harus lakukan sehinggalah saya pulih sepenuhnya. Tapi saya hanya buat sebulan setengah dan kemudian berhenti,” katanya.

Kata Zamani lagi, doktor memberitahu keadaannya semakin baik dan bakal menerima rawatan susulan dua minggu lagi. 

Kata doktor lagi, keadaan bongkok yang dialami sebelum ini tiada potensi untuk berlaku lagi melainkan jika dia tidak menjaga kesihatan dengan baik.

“Mula-mula saya kena buat fisioterapi seminggu dua kali. Kemudian dah sampai tahap dua minggu sekali yang saya skip tu. Doktor kata progress saya okay, jadi saya pun yakinlah. Cuma lepas saya skip fisioterapi punca sakit tu datang kembali.

“Doktor kata kemungkinan untuk bongkok semula itu tidak besar sebab kalau bedah masalah cakera (disc) boleh kena balik tapi macam saya punya ini susah sikit untuk jadi semula macam dulu kecuali kalau tidak dijaga dengan betul,” katanya.

Dalam pada itu, Zamani berkongsikan sehingga kini dia masih tidak boleh untuk duduk bersila di atas lantai namun tiada masalah kesihatan lain.

“Sampai hari ini saya masih belum boleh duduk di atas lantai atau bersila. Duduk antara dua sujud untuk solat pun tidak boleh.

“Kalau solat, saya memang memerlukan kerusi tetapi yang lain memang tiada masalah. Hanya duduk di atas lantai lagi masih belum boleh,” katanya.