fbpx

Bergelar Usahawan Berjaya, Shuib Elak Digoda Wanita ‘Gold Digger’

Kini bergelar usahawan berjaya, pelawak Shuib Sepahtu berkata dia seboleh-bolehnya cuba mengelakkan diri dari terjerumus dengan wanita yang suka mempergunakan lelaki lelaki kaya sebagai lubuk emas.

Menurut Shuib, dia menyedari akan kewujudan golongan wanita yang gemar mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi dan enggan terpalit dengan kontroversi yang boleh memusnahkan rumah tangga.

BACA: Shuib Akui Berat Hati Nak Terima Gelaran Datuk

“Saya sedar kewujudan wanita yang digelar kaki kikis ini dan dalam situasi sekarang ini dugaan memang hebat lebih-lebih lagi sebagai ahli perniagaan.

“Saya memang cuba elakkan diri supaya tak menerima dugaan begitu. Tapi kalau nak cerita pasal dugaan ini bukan orang jahat je kena, orang baik pun boleh diuji. Apa-apa pun semua bergantung pada kita macam mana nak menahan.

Dalam pada itu, Shuib berkata dia mengambil pendekatan elakkan diri dari membaca mesej peribadi yang diterima di media sosial miliknya. Ujarnya, kebanyakan golongan ‘kaki kikis’ gunakan media sosial untuk mencari mangsa.

“Kita pun dah biasa tengok video dan prank macam mana mereka ambil kesempatan terhadap orang kaya, kalau kita dah tahu jadi lebih baik elakkan daripada terjebak.

“Antara punca lelaki terjebak dalam hal ini kerana laman sosial, sebabnya ramai gold digger memburu lelaki menerusi platform tersebut.

Mengakui bukan lelaki yang sempurna, namun Shuib berkata dia sentiasa berpegang pada pesanan ibunya supaya tidak alpa dan leka dengan kekayaan dunia.

“Saya pun bukanlah alim sangat tapi sentiasa beringat. Emak saya selalu pesan kalau duit dah banyak jangan lupa orang yang bersama kita.

“Dari situ saya sedar kalau saya salah langkah, saya akan hilang orang yang saya sayang kerana apa yang saya miliki ini hasil doa mereka,” katanya.