fbpx

Berdepan Risiko Lumpuh, Zamani Tangguh Bedah

Ini mungkin berita mengejutkan buat peminat Zamani apabila penyanyi lagenda itu mendedahkan penyakit Skoliosis iaitu tulang belakang melengkung yang dialaminya perlu dibedah segera.

Bagaimanapun, Zamani memberitahu bimbang berdepan risiko lumpuh membuatkan beliau menangguhkan pembedahan tersebut. Kata Zamani lagi, beliau sudah bertahun menderita sakit tulang belakang dan bergantung sepenuhnya dengan ubat tahan sakit.

BACA: Zamani Akur Ramai Pertikai, Tak Puas Hati Mara Ke Final GV5

“Sudah lama saya menderita sakit tulang belakang iaitu sejak mengikuti program pemulihan di Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih). Sekarang saya hanya bergantung kepada ubat tahan sakit. Ini kerana saya belum ada masa untuk menjalani pembedahan.

“Doktor sarankan saya dibedah tetapi risiko selepas itu membuatkan saya takut. Ini kerana doktor beritahu peratusan untuk saya berkerusi roda selepas dibedah sangat tinggi,” katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu Zamani berkata, ramai rakan-rakan artis menasihatinya untuk mendapatkan rawatan sepenuhnya namun terpaksa ditangguhkan kerana kekangan masa. Ujar Zamani lagi, duit kemenangannya itu akan digunakan untuk menjalani rawatan sakit tulang belakang.

“Abang Jamal pernah bercadang membawa saya menjalani rawatan akupuntur. Tetapi saya sibuk dengan persembahan dan komitmen dengan GV5. Tetapi sekarang, saya fikir apabila sudah sampai ke tahap mengganggu kerja, saya kena buat rawatan.

“Insya-Allah dengan duit kemenangan ini, saya akan buat rawatan. Saya diberitahu tulang belakang saya yang sudah membengkok seperti huruf ‘S’,” katanya.