Sejak minggu lalu hangat diperkatakan mengenai penikahan pelakon Serina Redzuawan dengan seorang pegawai polis berpangkat inspektor dikenali sebagai Meor Muhammad Aidid Meor Jamaluddin.

Lebih mengejutkan apabila bekas isteri Aidid dikenali sebagai Nur Hamizah Shaffee mendakwa mereka masih lagi suami isteri ketika Serina dan Aidid mendirikan rumah tangga.

BACA: “Aidid Kahwin Dengan Serina Ketika Dia Masih Suami Saya” – Bekas Isteri

Tampil membuka mulut, Aidid mengakui berkahwin dengan Serina ketika dia bergelar suami orang, namun menafikan pelakon itu punca perceraiannya dengan bekas isteri, Nur Hamizah Shaffee.

Kata Aidid lagi, perkahwinannya sudah lama retak dan juga sudah tawar hati dengan bekas isterinya itu.

“Hubungan saya dan dia (Nur Hamizah) sudah bertahun lama bermasalah dan hambar. Hati saya sudah lama tertutup untuknya. Saya bernikah dengan Serina pada bulan Februari lalu.

“Tapi Serina bukan punca kami berantakan. Benar ketika berkahwin kali kedua, dia masih isteri saya. Itu fakta yang saya tak boleh nafikan. Lagipun pada masa sama proses tuntutan cerai di mahkamah memakan masa.

“Kami hanya bercerai secara sah pada 9 Mac lalu. Kini hanya Serina isteri saya, tidak timbul lagi kisah atau perihal bermadu,” katanya.

Menurut Aidid lagi, dia bersedia untuk bertangungjawab serta memberi bekerjasama dengan pihak polis berhubung dakwaan berkahwin kali kedua tanpa kebenaran.

Bagaimanapun, Aidid berkata dia kecewa dengan dakwaan bekas isteri pertamanya yang mengatakan hubungan mereka tiada masalah, sedangkan dia terabai berbulan-bulan.

“Kami menjalinkan hubungan rumah tangga secara jarak jauh atas tuntutan kerja. Namun itu bukan alasan untuk tidak menjalankan tanggungjawab.

“Selain rumah tangga bermasalah, perkahwinan saya dan dia juga ada campur tangan keluarganya. Hati suami mana yang boleh tahan sabar apabila isteri tidak menghormatinya.

“Balik jenguk saya pun susah. Berbulan-bulan saya terbiar tanpa dipedulikan perasaan dan kebajikan diri. Makan pakai saya pun tak terjaga. Ibu bapa dan kawan saya jadi saksi hidup ini macam orang bujang,” katanya.