fbpx

Berat Badan Susut 10 Kg, Keith Foo Hilang Punca Lepas Bercerai?

Rumah tangga yang dibina hanya mampu bertahan selama empat tahun sahaja, bulan lalu pelakon Keith Foo mendedahkan sudah pun bercerai dengan model, Kim Raymond pada penghujung tahun lalu.

Namun, sejak kebelakangan ini ramai yang perasan dengan perubahan fizikal Keith Foo yang semakin menyusut. Susulan itu, ada yang membuat spekulasi perceraian menjadi punca pelakon itu hilang punca sehingga tidak lalu makan.

BACA: Keith Foo Sahkan Sudah Bercerai

Bagaimanapun, Keith Foo menafikan perkara itu dan menjelaskan berat badannya susut kerana mengamalkan gaya hidup sihat. Ujarnya, dia dalam misi menguruskan badan sebelum berpisah lagi.

“Memang berat badan saya turun. Tapi bukanlah sebab bercerai… Kalau yang mengikuti saya di Instagram sebelum berpisah lagi saya dalam misi menguruskan badan.

“Benar macam-macam andaian mula kedengaran apabila saya berjaya menurunkan berat badan. Tapi saya sebenarnya mengamalkan gaya hidup sihat dan kurus bantuan produk makanan kesihatan, Cococurv,” katanya.

Katanya lagi, dia menurunkan berat badan bukanlah kerana terdesak untuk nampak bagus dan hebat tetapi kerana kelangsungan dalam dunia seni memandangkan dia sudah lama menyepi serta perlu bersaing dengan bakat baru.

“Pada tahap dan zaman sekarang, soal menjaga badan itu bukan semata mata nak nampak hebat dan cantik dalam gambar. Apatah lagi tunjuk bagus. Ia kini lebih kepada gaya hidup.

“Saya buat semua ini juga demi survival dan kelangsungan dalam dunia seni. Sekian lama menyepi saya juga mahu tampil segar bersaing dengan bakat baru dan sedia ada secara positif.

“Saya lakukan ini juga demi anak dan menambah kepercayaan terhadap diri,” katanya.