fbpx

Keith Foo Sahkan Sudah Bercerai

Rumah tangga yang dibina hanya mampu bertahan selama empat tahun sahaja, pelakon Keith Foo mendedahkan sudah pun bercerai dengan model, Kim Raymond pada penghujung tahun lalu.

Menurut Keith, dia dan bekas isteri sudah tidak bersama sejak dua tahun lalu namun bercerai secara rasmi Disember tahun lalu. Meskipun tidak lagi bersama namun hubungan mereka masih baik demi anak.

BACA: Keith Foo Nafi Bakal Bercerai

“Kami berpisah semenjak dua tahun lalu tetapi secara rasminya bercerai pada Disember tahun lepas.

“Walaupun sudah tidak lagi bersama, kami masih berhubung dan rapat demi anak, Skylar Raymond Foo,” katanya kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, Keith dan bekas isterinya sepakat mengekalkan hubungan yang baik untuk membesarkan anak mereka. Ujarnya, mereka berpisah secara baik dan menyifatkan perkahwinan tidak boleh dipaksa jika tiada lagi persefahaman.

“Anak tinggal dengan isteri tetapi setiap hari saya bertemu dengan anak. Jika saya bercuti dan tiada penggambaran, anak akan tidur di rumah saya.

“Kami berpisah secara baik. Perkahwinan tidak boleh dipaksa. Daripada kita paksa-paksa, kita tangguh-tangguhkan, tak tahu apa akan jadi di masa akan datang.

“Jika dipaksa dan tiada persefahaman, takut perkara lebih buruk yang bakal terjadi. Sekarang, situasi yang kami hadapi menjadi lebih baik,” katanya lagi.

Keith mendirikan rumah tangga dengan Kim pada November 2015 dan mereka dikurniakan anak, Skylar pada 30 Mei 2017.