Bakal melahirkan cahaya mata kedua, selebriti terkenal, Neelofa memilih untuk berpantang secara tradisional menggunakan khidmat bidan kampung.
Memetik BH Online, Neelofa berkata dia mahu mencuba kaedah baru selepas berpantang secara moden selepas kelahiran anak sulung sebelum ini.
BACA: Semua Impian Dah Tercapai, Neelofa Impi Jadi Guru Mengaji
“Keputusan menggunakan khidmat bidan kampung ini dibuat bersama dengan suami. Disebabkan itu, kami memilih bidan kampung yang berasal dari kampung suami di Kuala Terengganu.
“Tidak salah mencuba sesuatu yang baharu memandangkan saya pernah berpantang cara moden ketika melahirkan anak pertama.
“Kalau orang kata penjagaan secara tradisional agak ketat, itu hanya dari mulut orang sahaja. Setiap orang ada pendapat masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Neelofa mengakui gementar untuk kelahiran anak kedua serta memohon orang ramai mendoakan proses bersalin dipermudahkan.
“Pagi tadi saya ada memaklumkan kepada suami mengenai debaran semakin hampir tarikh bersalin. Secara kebetulan, saya baru berjumpa doktor untuk pemeriksaan bulanan.
“Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan baik dan bayi juga sihat. Mohon semua doakan agar proses melahirkan ini dipermudahkan,” katanya.
Sementara itu, disoal mengenai jantina anak, Neelofa mengatakan dia tetap dengan pendiriannya untuk merahsiakan sehingga genap tujuh hari melahirkan cahaya mata.
“Berita mengenai butiran anak kedua akan dikongsikan selepas genap tujuh hari bayi kami dilahirkan,” katanya.