Bella Astillah Minta Maaf Masih Promosikan Jenama Boikot

Penyanyi dan pelakon Bella Astillah tampil memohon maaf selepas menerima kecaman hebat kerana didakwa mempromosikan jenama yang berada dalam senarai boikot.

Bella, atau nama penuhnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 31, berkata dia memahami kemarahan rakyat Malaysia terhadap kekejaman Israel dan tidak menyalahkan sesiapa.

BACA: Bella Astillah Bawa Keluarga Ke Perancis Guna Duit Simpanan

“Saya faham perasaan rakyat Malaysia. Kalau saya di tempat mereka, mungkin saya juga akan bertindak begitu. Saya mohon maaf sebagai manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan. Saya akan cuba perbaiki diri,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran lagu terbarunya Akhirnya Kamu.

Tambah ibu kepada dua anak itu, kerja promosi jenama dilakukan oleh pihak pengurusannya. Namun, selepas menerima kecaman, dia telah berbincang untuk menangguhkan sebarang hantaran promosi buat sementara waktu.

Bella turut menegaskan bahawa dia tetap menunjukkan solidariti terhadap Palestin di media sosial walaupun terikat dengan kontrak.

“Saya masih terus berkongsi tentang isu Palestin. Harapan saya, suatu hari nanti kita semua dapat membantu mereka sepenuhnya. Setiap orang ada cara masing-masing untuk memberi sumbangan. Yang penting, kita cuba memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Terdahulu, nama Bella dan beberapa selebriti lain menjadi perbualan hangat selepas didakwa masih aktif mempromosikan produk yang tersenarai dalam kempen boikot.

Sumber: KOSMO! Online

×