fbpx

BCL Tak Terfikir Langsung Untuk Kahwin Lagi

Genap sepuluh bulan pemergian suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair, penyanyi terkenal Indonesia Bunga Citra Lestari mengakui tidak terfikir langsung untuk berkahwin lagi.

Menjawab pertanyaan diajukan oleh penyanyi Maia Estianty pada satu temu bual untuk program AL El Dul Channel di platform YouTube, BCL berkata dia mengambil masa enam bulan untuk mendapat kekuatan diri.

BACA: BCL Ditegur Doktor, Buat Sendiri Ujian Swab Covid-19 Terhadap Kawan

“Sampai sekarang? Belum. Sejak dari hari pertama menjalani terapi memulihkan diri, setiap hari saya menangis. Kemudian, baru rasa diri kembali berfungsi.

“Itupun selepas lima atau enam bulan. Barulah saya berupaya melakukan sesuatu, terutama kembali bekerja,” katanya.

Dalam pada itu, BCL mengakui dirinya ibarat robot tanpa perasan ketika terpaksa menjayakan beberapa tuntutan kerja selepas suaminya meninggal dunia.

“Beberapa hari selepas itu, saya sudah kembali menyanyi, kemudian hadir ke Indonesian Idol. Sepuluh hari, saya menyanyi terus dan rasa diri seperti robot sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, BCL meluahkan rasa syukur semangatnya kini semakin pulih malah kesedihan dialaminya juga berkurang.

Terdahulu, dunia hiburan tempatan dan Indonesia dikejutkan dengan berita kematian Ashraf pada 18 Februari lalu, akibat serangan jantung.