fbpx

Baru 5 Hari, Ucapan Birthday Mawar Rashid Raih RM1,000

Selepas Janna Nick, giliran pelakon Mawar Rashid pula menawarkan perkhidmatan ucapan kepada peminatnya, namun harga yang ditawarkan jauh lebih murah iaitu RM20. Mawar memberitahu, dia menyokong idea Janna dan menyifatkan perkhidmatan tersebut sebagai salah satu caranya menghargai peminat.

BACA: Mawar Rashid Pula Tawar Wish Birthday Untuk RM20

“Pada saya idea servis ucapan ini sangat kreatif dan saya sendiri menyokong idea Janna itu. Bagaimanapun, disebabkan jumlah pengikut saya tidaklah begitu ramai, jadi saya tawarkan harga yang lebih rendah.

“Satu hari saya hanya hadkan kepada 10 servis ucapan sahaja. Alhamdulillah sehingga kini sambutan sangat menggalakkan apabila sudah mengutip lebih dari RM1,000,” katanya kepada Kosmo!

Mawar yang kini berehat seketika dalam bidang lakonan kerana sedang hamil empat bulan, mengambil peluang menawarkan perkhidmatan tersebut untuk mencari rezeki. Katanya lagi, dia juga sudah berbincang dengan suami sebelum menawarkan servis tersebut dan tidak kisah jika dikecam.

“Saya sedang hamil empat bulan, jadi sementara tempoh berehat dalam bidang lakonan ini, lebih baik saya mencari rezeki menggunakan media sosial.

“Mungkin hati saya sudah kebal, jadi saya tidak kisah sekiranya terdapat peminat yang mengecam perkhidmatan ini. Biarlah saya ambil kata-kata positif sahaja dari peminat,” katanya.

Sebelum ini, Janna Nick dikecam hebat kerana ramai berpendapat harga yang dikenakan mahal dan pelakon itu dilihat seperti ‘terdesak’ mencari duit. Namun, dikhabarkan dalam masa dua hari, Janna mampu meraih pendapatan sebanyak RM2,000.