fbpx

“Bapa Saya Menteri, Tapi Saya Rakyat Biasa Tak Boleh Ingkar Arahan”

Sejak penularan wabak COVID-19 di negara kita, setiap hari ramai yang menantikan kelibat Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob untuk memberikan maklumat terkini mengenai keadaan negara.

Boleh dikatakan Menteri Pertahanan itu menjadi perhatian ramai, malah baju batik yang digayakan setiap minggu turut menjadi bualan netizen. Melihatkan populariti diraih bapanya, pelakon dan penyanyi Dafi akui bangga serta tumpang gembira.

BACA: Bukan Lagi Anak Menteri, Dafi Lega Perubahan Bapa

“Sebagai anak, saya hanya mampu bangga dan gembira dengan apa yang dilakukan bapa sekarang kerana memang tahu itu adalah minat utamanya.

“Walaupun di rumah, kami jarang berbicara soal kerjaya masing-masing, tapi saya tahu bapa puas hati dengan tanggungjawab kerja yang digalasnya sekarang,” katanya kepada Harian Metro. 

Dafi berkata, dia melihat bapanya sangat gembira dengan tugas sebagai Menteri Pertahan. Menurut Dafi, meskipun bapanya hari-hari terbabit dengan sidang media, namun beliau sangat bersemangat dan tidak nampak penat.

Diminta mengulas apabila dikatakan memiliki ‘hak istimewa’ kerana statusnya sebagai anak kepada Menteri, Dafi menafikan perkara itu. Dafi berkata sudah lebih sebulan terkurung duduk di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Siapa yang anggap saya ada hak istimewa kerana status sebagai anak menteri, itu dakwaan palsu. Saya sama sahaja macam kalian semua, duduk di rumah dan tak keluar ke mana-mana pun.

“Bapa saya memang menteri tetapi, saya adalah rakyat biasa yang tidak boleh ingkar dengan arahan kerajaan. Lagi pun, pandemik Covid-19 ini sangat bahaya dan keselamatan diri lebih utama,” katanya.