fbpx

Bakat Pernah Dihina, Diana Danielle Kini Serius Bergelar Penyanyi

Mengakui trauma untuk menyanyi selama 10 tahun apabila bakatnya dihina, bagaimanapun Diana Danielle berkata dia kini lebih semangat dan serius bergelar penyanyi.

Ia selepas video nyanyiannya untuk ‘cover version’ lagu Arcade di YouTube mendapat sambutan luar biasa. Malah, Daina juga tidak menyangka video tersebut mencecah hampir 100,000 tontonan di YouTube.

BACA: Gelaran Datuk Farid Kamil Ditarik Balik, Netizen Simpati Dengan Diana Danielle

“Kalau ikutkan, saya memulakan karier seni dengan niat untuk menyanyi lebih 10 tahun lalu. Bagaimanapun, saya trauma apabila bakat saya dihina individu tertentu yang terus mematikan hasrat untuk jadi penyanyi.

“Namun, tahun lalu saya tiba-tiba jadi rindu sangat untuk menyanyi sebelum dilamar jadi artis naungan Universal Music Malaysia. Sebagai permulaan, saya muncul dulu dengan lagu-lagu nyanyian semula termasuk Arcade itu.

“Saya ingatkan hanya empat ke lima ribu yang menonton pun sudah cukup tapi kini video itu hampir mencecah 100,000 tontonan. Semestinya, saya sangat bersyukur dengan sokongan padu itu dan menaikkan lagi semangat untuk menyanyi,” katanya.

Dalam pada itu, Diana berkata tidak sambil lewa menceburi bidang nyanyian. Ujarnya ia bukan sekadar hobi tetapi mahu serius dalam bidang muzik.

“Disebabkan itu, saya mahu tampil dengan lagu ‘cover version’ terlebih dahulu. Saya mahu raih perhatian ramai untuk melihat serta menilai kemampuan sebenar saya sebagai penyanyi.

“Daripada situ, barulah dapat mengesan sejauh mana potensi diri mampu pergi. Lagipun sekarang selera pendengar muzik tidak tetap dan paling penting, saya perlu menekankan penghasilan lagu berkualiti.

“Namun, sambutan terhadap lagu Arcade itu benar-benar meyakinkan saya. Malah, saya ingin jadi penyanyi pun bukan kerana hobi sahaja, sebaliknya mahu jadikan ia kerjaya kukuh untuk periuk nasi saya juga,” katanya.

Baru seminggu dimuat naik, video tersebut mendapat lebih 83,000 tontonan. Rata-rata netizen memuji bakat nyanyian Diana yang dikatakan setaraf penyanyi antarabangsa.