Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha bakal menunaikan umrah buat kali kedua pada minggu hadapan bersama ibunya, Samsiah Mohd Nor serta memohon peminat mendoakan agar dia beroleh umrah yang mabrur.
Memetik Utusan Online, Daiyan turut meminta orang ramai mendoakan agar dirinya menjadi lebih baik berbanding dihukum kerana kekal dengan penampilan sama walaupun selepas menunaikan umrah.
BACA: Daiyan Trisha Syukur Berjaya Miliki Rumah Idaman
“Saya rasa peminat faham, walaupun ada segelintir yang mempersoalkan kenapa sudah pergi umrah tetapi masih tidak tutup aurat dan sebagainya.
“Macam saya katakan tadi, perkongsian yang dibuat adalah secara luaran sahaja, kalaulah masyarakat tahu perasaan kita dan bagaimana seseorang berusaha untuk berubah, pasti mereka tidak akan mempertikaikan perkara tersebut.
“Saya cuma minta masyarakat dan peminat terus mendoakan saya untuk menjadi lebih baik dari semua segi kerana yang paling penting ialah hati dan jiwa perlu sentiasa bersih,” katanya.
Dalam pada itu, Daiyan berkata dia mahu menunaikan umrah di bulan Ramadan kerana ganjaran berganda di bulan mulia ini serta rasa rindu mendalam pada Baitullah.
“Saya memang tengah merancang, InsyaAllah kalau ada rezeki akan bertolak pada minggu kedua umat Islam berpuasa.
“Menunaikan umrah pada Ramadan bagi saya sangat istimewa kerana dalam bulan yang suci ini, apa sahaja amalan kita akan mendapat ganjaran pahala berganda daripada Allah SWT,” katanya.