fbpx

“Bagilah Harta Kemewahan Sekali Pun, Mesti Nak Ada Zuriat”

Setiap wanita yang sudah berkahwin pasti impikan cahaya mata, sama seperti pelakon Siti Elizad, tiada apa yang lebih berharga melainkan ingin dikurniakan zuriat. Ujar Elizad, selepas melakukan pembedahan membuang ketumbuhan cyst pada September lalu, dia perlu menjaga dirinya untuk mendapatkan anak.

BACA: Siti Elizad Terasa Hati Ditanya Soal Anak

“Sebenarnya perempuan ini bukan nak apa-apa pun. Bagilah harta atau kemewahan sekali pun tetapi dia mesti nak ada zuriat. Dikurniakan seorang cahaya mata pun sudah mencukupi. Saya nak anak sebab itu kena jaga diri. Lagi-lagi selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan cyst baru-baru ini.

“Pada mulanya, saya tak nak buat pembedahan itu sebab dua tahun lepas, saya pernah jalani pembedahan yang sama dan doktor itu membuang cyst itu bersama ovari sebelah kiri. Tapi alhamdulillah untuk pembedahan kali ini, doktor hanya buang cyst sahaja supaya saya masih berpeluang untuk hamil,” katanya kepada mStar Online.

Elizad kini sudah mula memasuki set penggambaran selepas sebulan berehat. Bagaimanapun, suaminya melarang melakukan babak yang boleh mencederakan dirinya.

“Alhamdulillah, keadaan saya semakin pulih. Tapi itulah, saya orang yang tak suka duduk rumah. Jadi, sekarang saya dah mula masuk set penggambaran. Sebulan sahaja saya berehat. Sepatutnya saya perlu berehat dalam masa tiga bulan tapi saya jenis suka bekerja dan tak boleh duduk diam.

“Tapi suami dah berpesan jangan lakukan babak seperti jatuh atau yang boleh mencederakan diri. Kalau dia tahu saya buat, dia akan terus datang ambil saya di set,” ujarnya.