fbpx

Bade Hj. Azmi Masih Jalankan Tanggungjawab Sebagai Suami

Kisah rumahtangga yang melanda pasangan pengarah filem tanah air, Bade Hj. Azmi dan Erma Fatima sebelum ini nampaknya masih belum reda apabila timbulnya pula gossip yang mengatakan bahawa Bade mahu menceraikan isteri pertamanya itu.

Tetapi setelah bertemu Bade Hj. Azmi sendiri semasa majlis pelancaran Tribute P.Ramlee kelmarin dia menafikan perkara tersebut malah mengatakan bahawa dia masih sayangkan isterinya Erma Fatima, walaupun kini sudah berkahwin dua.

BACA: Erma Fatima Nafi Khabar Angin, Masih Isteri Bade Hj. Azmi

“Saya masih jalankan tanggungjawab saya sebagai suami dan orang-orang terdekat boleh melihat sendiri dengan apa yang telah saya lakukan sehinggalah ke hari ini. Tiada apa yang perlu saya cakap kerana nanti ada yang mereka-rekakan cerita yang tidak ada. Perkara sebegini tak perlu untuk bertanyakan pada orang lain, tanya kepada empunya diri,” katanya.

Bade juga turut menjelaskan bahawa Erma sudah pun dipertemukan dengan isterinya yang kedua ini tetapi tidak sempat untuk bermesra kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya, begitu juga dengan anak-anak mereka yang sudah mengetahuinya tetapi masih belum sempat untuk mengenalinya secara lebih dekat.

“Erma telah berjumpa tetapi masih belum untuk sempat bermesra dan anak-anak juga mengetahui perkara tersebut,” ujarnya yang juga memaklumkan yang isteri keduanya, Aida Abdul kini sedang hamil sebulan setengah.

Sementara itu Bade Hj. Azmi sekali lagi akan berentap dalam Tribute P.Ramlee menerusi telemovie ‘Mahabbah Rindu’ yang akan disiarkan pada 30 November ini, di saluran RTM 1. (rtky/hfz)