Sudah mendapatkan dua dos vaksin lengkap, pelakon Azri Iskandar berkata dia terpaksa berbohong kepada isterinya, Ellie Suriati ketika mahu mendapatkan suntikan.
Mengakui Ellie terkejut apabila mendapat tahu dia sudah divaksin, Azri berkata dia memberi alasan kepada isterinya mahu ke bengkel.
BACA: Azri Iskandar Senyap-Senyap Cucuk Vaksin Tanpa Pengetahuan Ellie Suriaty
“Ellie sangat terkejut apabila mengetahui saya dah lengkap dua dos vaksin Covid-19. Selama ni saya sering jawab ‘tak’ saja apabila ditanya mengenai vaksin walaupun sebenarnya saya dah cucuk (ambil vaksin).
“Dia tahu hanya selepas saya memaklumkan kepadanya yang saya akan jalani penggambaran. Semasa nak pergi pusat vaksin tu pun saya cuma bagitahu Ellie yang saya nak pergi ke bengkel hantar anak,” katanya.
Menurut Azri, jika dia tidak mendapatkan vaksin, dia akan hilang punca pendapatan. Ujarnya, meskipun dia takut untuk mengambil vaksin, namun terpaksa untuk bekerja.
“Sebelum ni dia (Ellie) asyik bising pasal antivaksin. Saya pula terpaksa ambil vaksin. Jika tak ambil, tak boleh bekerja. Saya pun takut nak ambil vaksin tu sebenarnya. Tapi dah terpaksa, kenalah ambil juga,” katanya.
Ditanya mengenai anak-anaknya mungkin terpaksa berhenti dari persekolahan kerana menolak vaksin, Azri berkata, dia harap boleh berbincang mengenai perkara itu dengan Ellie.
“Saya berharap boleh berbincang dengan Ellie pasal persekolahan anak-anak. Mungkin di kemudian hari, Ellie juga akan terbuka hati untuk ambil vaksin terutama bila keadaan sudah terpaksa. Saya harap dia akan berfikir panjang,” katanya.