fbpx

Ayda Jebat Masih Pilih Czer Lahirkan Anak Kedua 

Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat berkata dia memilih kaedah pembedahan atau Caesarean untuk melahirkan anak keduanya pada Disember depan.

Memetik BH Online, Ayda berkata dia selesa dengan kaedah kelahiran tersebut selepas melahirkan cahaya mata sulungnya, Ana Nayla meskipun ada yang menganggap ianya menyakitkan.

BACA: Netizen Bimbang Tengok Ayda Jebat Hamil 7 Bulan Lincah Menari

“Selepas melahirkan anak sulung melalui kaedah Czer, saya alami momen indah biarpun ada yang beritahu akan rasa sakit dan susah hendak dijaga.

“Sebenarnya, itu tidak betul. Mengikut pengalaman, Alhamdulillah, urusan saya dipermudahkan. Jadi, untuk anak kedua, saya pilih Czer lagi. Bagaimanapun, setiap wanita berbeza kesan ke atas diri mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ayda berkata anak keduanya itu sepatutnya lahir pada 1 Januari tahun hadapan sama dengan ulang tahun perkahwinannya, namun doktor menyarankan pada Disember.

“Namun, disebabkan saya pilih Czer, doktor sarankan pilih tarikh lain, iaitu Disember depan,” katanya yang sudah pun memilih tarikh kelahiran anak keduanya itu.