fbpx

Ayda Jebat Hadiahkan Rumah Untuk Ibu Sebelum Kahwin

Menerusi perkongsian di Instagram, pelakon dan penyanyi Ayda Jebat meluahkan rasa syukur akhirnya dapat menghadiahkan sebuah rumah teres dua tingkat di Puncak Alam, Selangor buat ibunya, Rohana Mohamed.

Ayda berkata hadiah itu merupakan salah satu impiannya yang ingin dicapai sebelum menamatkan zaman bujangnya dengan pengacara Nabil Mahir tahun hadapan. Ujarnya, sebelum dia membahagiakan orang lain, dia mahu membahagiakan ibunya terlebih dahulu.

BACA: Takut Lupa Tarikh Anniversary, Ayda Jebat & Nabil Mahir Pilih Nikah 1 Januari

“Syukur alhamdulillah. Allah makbulkan doa saya. Rezeki dapat hadiahkan mama sebuah rumah. Saya beritahu Nabil, ada benda saya kena capai sebelum saya kahwin.

“Inilah antaranya. Buat mama saya bahagia, sebelum saya bahagiakan orang lain. Lega hati ini Ya Allah,” tulisnya.

Memuat naik foto berada di hadapan rumah baru tersebut, Ayda berharap dan mendoakan supaya semua orang dapat membahagiakan ibu bapa masing-masing selagi mereka masih bernyawa.

“Saya doakan semua dapat bahagiakan orang tua anda bukan saja dari harta benda, malah banyak benda lain anda boleh berbakti untuk mereka. Semoga tercapai. Insya-Allah.

“Mama selalu hubungi dan pesan ‘Kakak jangan kerja kuat sangat, kena rehat jugak.’ Sebenarnya, kerja keras saya tak sekuat pengorbanan mama jaga saya dan adik-adik. Saya cintakan mama. Saya akan selalu menjaga dan membahagiakan mama, walaupun saya dah kahwin nanti,” katanya.