Anak sulung kepada Allahyarham Mohd Suhaimi Saad itu memberitahu ayahnya sempat berpesan sebelum keadaan kesihatannya semakin merosot pada minggu lalu.
Memetik Sinar Harian, Ehmad Hadie Elfardie, 15, berkata ayahnya berpesan untuk memandikannya serta solatkan apabila dia sudah tiada suatu hari nanti.
BACA: “Arwah Pernah Cakap Nak Hidup Sehingga Usia 43 Tahun” – Ina Naim
“Ayah pernah pesan agar anak-anak uruskan jenazahnya. Ayah pesan kalau ayah tak ada nanti mandikan ayah, solatkan ayah. Alhamdulillah, semua itu sudah selesaikan, sudah dilakukan. Selain itu, ayah juga minta agar saya dan adik-adik jaga solat dan jangan tinggal mengaji,”
Sementara itu, Ehmad Hadie berkata, dia menerima pemergian bapanya itu sebagai ketentuan Ilahi dan reda dengan apa juga yang berlaku.
Ditanya mengenai kenangan terindah bersama bapanya, Hadie berkata setiap hari bersama ayah merupakan kenangan terbaik dalam hidup.
“Kami semua (adik beradik) rapat dengan ayah. Hari-hari menjadi kenangan terindah bersama ayah. Ada sahaja benda yang seronok kami buat dengan ayah,” katanya.
Pagi tadi, jenazah bekas kumpulan nasyid In-Team itu selamat dikebumikan di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi.